fbpx

Selangor semak semula garis panduan konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Najwan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jelajah Belia Madani Selangor 2024 di Pantai Remis, Jeram hari ini.

KUALA SELANGOR – Garis panduan baharu dan pelaksanaan sesuatu konsert di Selangor akan disemak semula bagi mengelakkan insiden pengunjung maut akibat dadah berulang kembali pada masa akan datang.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim bagi tujuan tersebut.

“Saya pun akan bincang dengan Exco Kerajaan tempatan dan Pelancongan untuk lihat semula sebab sebelum ini tidak pernah berlaku insiden kematian akibat daripada penggunaan bahan terlarang.

“Kita nak elakkan supaya kejadian ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan saya setuju kita semak semula dari segi garis panduan atau pelaksanaan sesuatu konsert itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jelajah Belia Madani Selangor 2024 Siri 3 di Pantai Remis, Jeram di sini.

Kosmo! semalam melaporkan Polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit sebarang penganjuran konsert berkuat kuasa serta merta supaya mana-mana penganjur boleh mengambil kawalan keselamatan terutama dalam penjualan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan perlunya ada garis panduan baharu dalam sesuatu penganjuran konsert termasuk dari segi bilangan pengunjung mengikut keluasan tempat selain aspek keselamatan dari penjualan dadah serta pengudaraan.

Ini selepas empat termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an maut disyaki akibat pengambilan ekstasi selepas menghadiri konsert ” Pinkfish” di Bandar Sunway dekat sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Najwan berkata, beliau sememangnya kesal dengan apa yang berlaku namun yakin pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan mengambil keputusan sewajarnya untuk menangguhkan konsert yang dirancang ketika ini.

Justeru, beliau berharap para penganjur konsert selepas ini perlu melihat lihat semula kepada kaedah keberkesanan pelaksanaan sesuatu penganjurannya.

“Maksudnya dari segi prosedur itu, kalau diikutkan agak jelas garis panduannya tetapi kadang-kadang ada benda di luar kawalan penganjur dan pihak berkuasa.

“Ini seharusnya menjadi salah satu sebab kita lihat semula dan pastikanlah dari segi tahap penguatkuasaan terutamanya dari pengambilan dan penggunaan bahan terlarang ini perlu diambil tindakan tegas kepada mereka,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI