fbpx

Puspakom mohon individu tahu keberadaan tayar lori lapor pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmood pada sidang media di Puspakom Shah Alam baru-baru ini. - FOTO oleh SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) atau maklumat tentang keberadaan tayar lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada malam 23 Disember lalu untuk tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya berharap maklumat yang diperoleh daripada orang ramai akan dapat menyempurnakan lagi siasatan punca insiden kemalangan tersebut.

Kata beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan tayar tersebut boleh menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau memaklumkan kepada Puspakom di talian 03-5101 7000.

“Saya merayu agar sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam sebelum, semasa dan selepas kemalangan tersebut terutama rakaman ketika tayar itu dialihkan dari lokasi kemalangan untuk tampil dan menyerahkan rakaman tersebut kepada PDRM.

“Bahan-bahan bukti ini amat penting untuk membantu siasatan agar keluarga mangsa dan orang ramai mendapat suatu kepastian dan titik noktah berhubung tragedi ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahmood berkata, Puspakom telah memuktamadkan laporan siasatan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan telah menyerahkanya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), namun hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan manakala tayar yang tercabut tidak dapat diperiksa kerana tidak dijumpai.

Berdasarkan laporan pemeriksaan awal Puspakom ke atas lori berjenama Foton yang terbabit dalam kemalangan tersebut mendapati tayar yang hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.

Tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.

Beliau berkata, penahanan reman seorang lelaki yang dikaitkan dengan siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diharap dapat membantu membongkar sindiket yang didakwa mengawal sektor pemeriksaan.

Kata beliau, Puspakom amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan pihak yang tidak bertanggungjawab menerima tindakan undang-undang sepenuhnya.

Kata Mahmood, penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana memperjudikan bukan sahaja nyawa pemandu, malah nyawa pengguna jalan raya lain.

“Pemilik kenderaan perdagangan perlu memastikan tayar yang digunakan adalah mematuhi piawaian ketahanan dan keselamatan seperti mana diperuntukkan oleh kerajaan. Penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian sangat tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI