fbpx

Penularan virus HMPV cetus kebimbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail penduduk memakai pelitup muka di Hong Kong. - AFP

BEIJING – Lima tahun selepas kemunculan Covid-19, satu lagi virus berkaitan pernafasan melanda beberapa lokasi di China sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung kadar penularannya, lapor laman berita CNBC kelmarin. 

Menurut beberapa laporan media, pihak berkuasa China kini berdepan penyakit berkaitan pernafasan terutamanya metapneumovirus manusia (HMPV) dan meminta rakyat memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan. 

Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China (CDC) telah menetapkan protokol berhubung laporan makmal dan pengesahan kes-kes yang dilaporkan.

Menurut akhbar Financial Express, CDC mengeluarkan beberapa cadangan termasuk pemakaian pelitup muka di tempat sesak, menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan dan mengelakkan kawasan sesak.

Jabatan itu juga menasihatkan supaya tahap kebersihan yang baik dikekalkan, memastikan pengudaraan yang betul di ruang dalaman dan mengamalkan gaya hidup sihat. 

Pihak berkuasa kawalan penyakit China sebelum ini berkata, ia sedang merintis sistem pemantauan untuk wabak radang paru-paru yang tidak diketahui puncanya.

Langkah untuk mewujudkan sistem khusus itu bertujuan bagi membantu pihak berkuasa menyediakan protokol untuk mengendalikan agen pembawa penyakit tersebut, yang kini masih tidak diketahui.

Menurut stesen penyiaran CCTV yang memetik kenyataan seorang pegawai pentadbiran, Kan Biao, China dijangka terjejas oleh pelbagai penyakit berjangkit pernafasan pada musim sejuk dan musim bunga. 

Kes terbaharu yang dikesan adalah termasuk rhinovirus dan HMPV dengan kes dalam kalangan penduduk berusia bawah umur 14 tahun menunjukkan trend menaik, terutamanya di wilayah utara.

“Data dari 16 hingga 22 Disember lalu menunjukkan peningkatan dalam jangkitan pernafasan akut termasuk HMPV, terutamanya di wilayah utara. Kes-kes terkini kebanyakannya melibatkan individu bawah umur 14 tahun,” demikian menurut satu kenyataan rasmi.

Menurut laman web CDC China, HMPV ialah virus RNA. 

Ia tergolong dalam Pneumoviridae, genus Metapneumovirus dan pertama kali ditemui pada tahun 2001 oleh seorang penyelidik Belanda yang mengkaji sampel kanak-kanak menghidap  jangkitan pernafasan.

Kajian menunjukkan bahawa virus itu telah wujud selama sekurang-kurangnya enam dekad dan merebak ke seluruh dunia sebagai patogen pernafasan biasa. 

Ia tersebar terutamanya dalam titisan melalui batuk dan bersin, manakala penularan juga mungkin berlaku kerana hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti dan pendedahan kepada persekitaran tercemar.

Virus itu mempunyai tempoh inkubasi selama tiga hingga lima hari, namun tindak balas imun yang disebabkan oleh HMPV adalah terlalu lemah untuk menghentikan jangkitan berulang.  

Sementara itu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa bahawa virus tersebut merebak pantas, dengan sebilangan pengguna berkata, hospital-hospital dipenuhi pesakit.

Beberapa video yang dikongsikan menunjukkan keadaan hospital sesak, manakala pesakit dikatakan menghidap berbilang virus termasuk influenza A, HMPV, Mycoplasma pneumoniae dan Covid-19.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kesahihan dakwaan itu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI