PETALING JAYA – Bermula bulan ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan Kod QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khusus buat warganegara Malaysia.
Melalui satu pengumuman di laman sosial Jabatan Imigrasen, pengembara warganegara Malaysia boleh menggunakan kemudahan ini tiga langkah sahaja iaitu, muat turun aplikasi MyBorderPass dan Daftar.
“Kemudian langkah kedua adalah gunakan Kod QR & pengesahan wajah, langkah terakhir adalah rentas,” jelas pegumuman tersebut.
Sistem itu bertujuan mengatasi kesesakan di pintu masuk imigresen dengan menawarkan kecekapan yang lebih tinggi serta difahamkan sebanyak 40 lorong khas akan disediakan untuk warganegara Malaysia di Terminal 1 dan 2 Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kesesakan di KLIA, terutama pada waktu puncak dan musim cuti, telah lama membelenggu pengguna. Sistem imigresen manual dan autogate konvensional menghadapi keterbatasan kapasiti, mengakibatkan kelewatan yang tidak diingini bagi pelancong.
Dengan pelaksanaan sistem Kod QR, proses pelepasan dijangka hanya mengambil masa 5 hingga 7 saat, jauh lebih pantas berbanding autogate yang memerlukan 15 hingga 25 saat. Perubahan ini diyakini dapat mengurangkan tekanan di pintu masuk imigresen secara signifikan.
Terdahulu, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem baharu ini akan diperkenalkan secara percubaan di kawasan ketibaan dan pelepasan KLIA. Beliau optimis bahawa teknologi ini mampu menawarkan kelajuan dan kemudahan yang jauh lebih baik berbanding kaunter manual dan sistem autogate sedia ada. – KOSMO! ONLINE.