REMBAU – Seorang pelajar Kolej Vokasional Muar di Johor maut apabila motosikal jenis Yamaha Xmax 250 yang dia tunggang terjatuh di tengah jalan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord hari ini.
Kejadian pada pukul 10.40 pagi di kilometer 222.4, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) di sini itu mengakibatkan Muhammad Al-Azim Mohd. Fairuz, 18, dari Sungai Abong, Muar meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh ke Seremban sambil membonceng seorang pelajar berusia 13 tahun.
Katanya, motosikal mangsa kemudian telah hilang kawalan menyebabkan motosikal terjatuh di lorong tengah.
“Pembonceng sempat bergerak ke lorong kecemasan sebelum sebuah kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun tiba dan merempuh motosikal serta penunggang.
“Mangsa tercampak ke kiri dan maut di tempat kejadian. Pembonceng pula cedera ringan dan dihantar ke Hospital Rembau,” katanya.
Pemandu dan penumpang iaitu wanita berusia 29 tahun tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE