PETALING JAYA – Pas tetap hadir bersama ahlinya menyertai himpunan solidariti Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya Isnin ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu tidak sesakali menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong.
Malah katanya, ia juga tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan
Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan.
“Pas mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara hari ini berhubung kuasa prerogatif DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Pas juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, himpunan solidariti itu tidak lain melainkan bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang Dipertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan.
Selain itu katanya, ia juga menyokong semua usaha sah Datuk Seri Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.-KOSMO! ONLINE