fbpx

‘Orang ingat saya perempuan nakal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jangankan kelab malam atau disko, rokok pun tidak pernah disentuh. Zila Bakarin pelik apabila pelbagai gelaran buruk ke label ke mukanya.

TEGAR dengan gelaran artis seksi sejak bertapak dalam arena seni sekitar 1996, perubahan drastik Zila Bakarin empat tahun lalu sememangnya mengejutkan ramai.

Menyedari imej ‘berani mati’ sudah sinonim dengan dirinya, pelakon yang kini menginjak usia 49 tahun mengenang gaya seksinya disamakan dengan perempuan liar.

Hakikatnya, pemilik nama sebenar Rosmawati Bakarin itu bukan seperti disangkakan. Hanya kerana ‘daring’ berpakaian, dia langsung tidak pernah ke pusat hiburan seperti tanggapan umum.

Jangankan kelab malam atau disko, rokok pun tidak pernah disentuh. Dia pelik apabila pelbagai gelaran buruk ke label ke mukanya.

KETIKA zaman muda, Zila Bakarin sebenarnya seorang wanita yang tidak gemar bersosial sebaliknya lebih tenang berada di rumah berbanding keluar melepak di pusat hiburan.

Disangka ‘nakal’

“Dari dulu sampai sekarang, saya susah untuk keluar ke mana-mana. Dunia saya cuma kerja dan terperuk di rumah kalau tiada penggambaran.

“Bohonglah kalau tiada kawan yang ajak berhibur. Sekitar 1990-an, kelab hiburan memang meriah dengan ‘live band’ dan sebagainya, cuma saya tak boleh terima suasana bising dengan tempat yang padat. Lemas!

“Pernah juga masa menunggu giliran masuk set ada kru cakap pergi ‘berasap’ dulu. Saya tak faham, rupa-rupanya dia minta saya merokok dulu sementara menunggu.

Patutlah ramai ingat saya ‘nakal’,” katanya mengimbas kisah lalu.

Kata Zila, ada dalam kalangan rakan terdekat berasa pelik dengan sikapnya yang gemar menghabiskan masa di rumah berbanding keluar bersantai.

Selain rimas berada dalam situasi padat manusia, dia turut berdepan masalah gangguan obsesif kompulsif (OCD) yang agak teruk.

Situasi yang dihadapi sejak zaman anak dara sehingga berkahwin dan mempunyai dua anak remaja itu masih membelenggu dirinya.

BERDEPAN tiga masalah kesihatan yang hadir serentak termasuk slip disc, kurang darah dan fibroid, Zila tetap reda dengan segala kesulitan tersebut. – IQBAL ROSLI

Masalah OCD

“Mujur saya dikurniakan suami, Azri Izhar yang amat memahami. Dia banyak membantu menyempurnakan kehidupan sejak kami berkahwin 16 tahun lalu.

“Saya jadi macam tak keruan kalau tengok benda tak bersusun malah sepanjang hidup saya lebih selesa tinggal di kediaman bertingkat sebab takut haiwan merayap, termasuk tikus.

“Bukanlah bermakna saya terlampau pembersih atau jijik memijak tanah, tetapi itulah antara sebab saya rela terperuk di rumah. Buat hal sendiri,” ujarnya.

Kongsi dramatis putih gebu itu, disebabkan terlampau kerap mengemas barang rumah, tulang belakangnya cedera dan perlu menjalani pembedahan pada Oktober tahun lalu.

“Kononnya mahu lantai lebih bersih, saya gunakan tuala untuk menyental tetapi kemudian terus terdengar bunyi ‘pop’. Ingatkan tiada apa-apa, saya masuk set drama selepas itu dan kesakitan semakin terasa beberapa hari kemudian.

“Saya menanggung sakit hampir dua bulan sampai tidur pun terpaksa berdiri dengan menonggeng di atas meja makan.

“Apabila kaki mulai kebas dan kena pakai tongkat, barulah saya paksa diri ke hospital seterusnya dibedah akibat cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc).

“Ketika itu saya cuma nak sempurnakan penggambaran tetapi Allah nak bagi ingatan supaya jaga diri. Hampir seminggu saya di hospital dan kemudian saya dikesan mempunyai masalah kurang darah dan ada fibroid,” katanya.

Sudah sembuh sepenuhnya dan kembali bekerja seperti biasa, namun Zila perlu menjaga pergerakan selain tidak mengangkat bebanan yang berat.

Akui selebriti peramah itu, keluarga terutama suami dan dua permata hati mereka, Kaseh, 15, dan Chinta, 12, sentiasa memastikan dirinya dalam keadaan baik.

“Dugaan yang datang mengajar saya supaya lebih menghargai detik berharga bersama insan tersayang.

“Suami pun banyak membantu. Apa pun selepas drama Luruhnya Bunga Cinta akhir tahun lalu, saya ada berlakon lagi tetapi memasuki awal tahun ini, tiada pula tawaran baharu.

“Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin ada yang sangka saya masih sakit. Jangan risau, saya boleh bekerja lagi, tenaga saya pun kuat lagi,” kongsinya.

ZILA bersama suami dan anak-anaknya, Kaseh dan Chinta.

Pindah ke luar bandar

Bercerita lanjut mengenai suaminya yang turut terbabit dalam dunia produksi, lelaki itu diakui sebagai individu istimewa yang menerima baik buruk dirinya.

Tambah pelakon filem Syaitan Munafik itu, selepas bertahun-tahun selesa tinggal di pangsapuri, Azri membuat kejutan dengan menyediakan kediaman lebih selesa di Beranang, Selangor.

“Sejak kecil saya tinggal di bandar, di kediaman bertingkat jadi apabila suami tunjukkan rumah bertanah yang hampir siap, saya memang terkejut.

“Saya tak sangka suami merealisasikan ‘syurga’ kami hasil simpanannya sejak muda. Itu yang buat saya terharu biarpun dalam hati terfikir, boleh ke saya duduk di rumah bertanah ini dengan keadaan yang OCD.

ZILA kini tenang hidup di Beranang, Selangor yang jauh dari hiruk-pikuk kota.

“Kini selepas lebih setahun berpindah, saya semakin selesa sebab memang lebih damai selain dikelilingi kejiranan yang juga saudara-mara sebelah suami,” ujarnya.

Berkonsepkan ‘farmhouse’ dengan ruang tamu dan dapur kering terbuka selain dilengkapi kolam renang sedalam lima kaki, mahligai istimewa itu menjadi syurga mereka empat beranak.

“Sebenarnya saya memang tak boleh nak ke belakang rumah walaupun kolam renang sebab saya geli pernah ternampak binatang merayap.

“Jadi suami bersihkan kawasan itu. Saya tengok dari dalam sahaja.

“Syukur kerana inilah juga tempat adik-beradik kami berkumpul. Biarpun belum siap sepenuhnya, insya-Allah semuanya suami buat sikit-sikit guna duit sendiri.

“Pada usia suami yang sudah cecah 51 tahun, dia enggan dibebani hutang. Kami berdikit-dikit. Semoga urusan dipermudahkan,” tutupnya.

ZILA ramah bercerita ketika ditemuramah wartawan HibGlam di kediamannya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI