fbpx

Masih ada ‘DNA’, Squid Game 2 tak buang masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIRI Squid Game 2 tidak mengecewakan, masih ada fenomena dengan ‘DNA’ musim pertama dan segalanya akan terungkai pada edisi terakhir tidak lama lagi.

Sebenarnya sangat banyak perihal mahu diulas tentang siri Netflix paling laris dalam sejarah tersebut, namun yang pasti ini tidak cukup ruang di sini.

Pertama, plot cerita daripada kerangka minda genius penerbit, Hwang Dong-hyuk kekal membuatkan penonton tidak senang duduk.

Kalaulah Squid Game ditayangkan di pawagam, memang keluar segala maki hamun terhadap apa dipamerkan.

Penulis secara peribadi sangat menyenangi ‘kepergian’ tiga episod awal. Begitupun agak lambat panas, namun langsung tidak membunuh rasa ‘cinta’ terhadap siri terbabit.

Perkembangan karakter Seong Gi-hun lakonan Lee Jung-jae (kanan) semakin mendebarkan dan membuatkan penonton tidak senang duduk.

Misalnya, episod pertama, selepas dibelenggu pelbagai ‘sengsara’ dan persoalan musim terdahulu, realiti dibentangkan menerusi karakter ‘utusan’ permainan meragut nyawa terbabit, Gong Yoo, memang terbaik.

Biarkan durasi kemunculan pelakon hebat tersebut hanya di situ sahaja (satu dua episod), namun eksplorasi dan impak karakter yang ditinggalkan cukup luar biasa.

Di sebalik keterujaan dunia, ada keluhan kononnya Squid Game 2 seperti hilang sakral.

Sakit jiwa

Masakan tidak, musim pertama naskhah meroket ke bintang dari segi jualan dan kualiti, termasuk menang banyak anugerah.

Jadi, untuk musim berikutnya ini,  tiada lain yang diharapkan audiens kecuali naskhah berkenaan terus membuatkan jiwa meronta resah, mengalirkan air mata dan mulut terkumat-kamit menggerutu segala omelan impak jalan cerita dan semestinya pembangunan karakter yang cemerlang.

Cumanya, ada banyak yang terlalu berjela misalnya proses undian O dan X berkali-kali yang kelihatan seakan mahu ‘membuang masa’.

Mungkin terjemahan boleh lebih dilencongkan ke perihal lain secara lebih baik.

Dengan durasi musim kali ini berjumlah tujuh episod, banyak lagi persoalan yang kekal berstatus tergantung atau ‘cliffhanger’. Bukankah itu satu elemen untuk penonton terus menantikan apa yang akan berlaku selanjutnya? Tepuk dada, tanya selera.

Tentang permainan karakter, tiada jalan untuk mengatasi apa yang dibentangkan pada musim pertama.

Untuk Sang-woo, Sae-byeok, pak cik tua bedebah yang hujungnya dibongkar sebagai pencipta permainan celaka iaitu Il-nam dan Ali Abdul, kalian akan selamanya dirindui.

Musim kedua banyak watak baharu diperkenalkan dan semuanya meninggalkan dampak tersendiri.

Askar ‘transgender’

Paling berkesan semestinya karakter dibangunkan Hyun-ju oleh Park Sung-hoon, seorang lelaki berperwatakan wanita yang memilih untuk menyertai permainan demi melunaskan transisinya sebagai seorang transgender.

Siapa sangka Sung-hoon yang dahulunya sangat dibenci kerana watak-watak antagonis kini berubah 360 darjah. Dia menjadi orang paling disayangi disebabkan karakter seorang lelaki yang ingin menjadi wanita. ‘Show stealer’, memang luar biasa!

Antara yang menjadi sebutan ramai dalam Squid Game 2 adalah karakter transgender bernama Cho Hyun-ju atau pemain nombor 120.

Idea meletakkan The Front Man ‘bermain’ dengan Player 456 iaitu Gi-hun memang genius, namun dari satu perspektif, perkara tersebut sudah dijangka untuk lebih memberikan ‘warna’ terhadap jalan cerita.

T.O.P Bigbang sebagai Thanos juga meninggalkan kesan tersendiri. Dia antagonis musim ini dan penulis secara peribadi melihat karakternya antara yang menarik apatah lagi selepas diberitahu, dia tidak diberikan skrip sebaliknya ‘freestyling’ untuk karakter tersebut.

Karakter utama, Seong Gi-hun antara yang membuatkan dahi berkerut sepanjang perjalanan Squid Game 2.

Dia umpamanya Tom Cruise dalam Mission Impossible pada awalnya, namun apabila masuk kembali bertanding, segala-galanyanya berubah.

Dialah manusia paling ‘stres’, paling hendak menyelamatnya nyawa semua orang, menjadi ‘bahan rujukan’ namun akhirnya, banyak yang ditamatkan riwayat hanya kerana mahu dibawa keluar ‘hidup-hidup’ daripada permainan.

Kalaulah siri nombor satu dunia itu sekeping kertas jawapan peperiksaan, markahnya adalah 85/100. Meresahkan, menghidupkan adrenalin rasa dan penuh nilai komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI