LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menemukan dua bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar di perairan negara lewat petang semalam.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot-bot tersebut dikesan berada di dua batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi dan kesemua PATI dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan serta minuman mencukupi.
“Hampir 300 PATI berada dalam bot terbabit dan Maritim Malaysia memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih sebelum bot tersebut diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan sebuah bot yang membawa 196 etnik Rohingya ditahan pihak polis selepas mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi, pukul 3.25 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE