fbpx

‘Mana tayar lori tercabut punca tujuh maut’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran tersebut.

PETALING JAYA – Polis meneruskan pencarian tayar lori di kawasan Tangkak dan Segamat, Johor yang dipercayai menjadi punca kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada malam 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pasukannya meneruskan pencarian tayar terbabit hari ini setelah gagal mengesan tayar itu di lokasi kemalangan.

Katanya, pihaknya ke Pejabat PLUS Tangkak untuk berjumpa dengan Pegawai Operasi Propel namun mereka memaklumkan tidak menemui tayar lori treler di lokasi kejadian selain memberi maklumat bahawa sampah-sampah di lokasi kemalangan dibawa oleh sebuah lori Roro.

“Nombor telefon pemandu lori Roro tersebut telah diperolehi dan keterangan pemandu lori Roro akan diambil.

“Keterangan pemandu lori subcon (Propel) yang menjalankan pembersihan di tempat kejadian telah diambil manakala keterangan pemandu lori Roro yang membawa sampah-sampah ke tempat pelupusan di Segamat juga telah diambil,” katanya.

Menurut beliau, usaha pencarian tayar itu dibuat selepas mengesan video tular serta kenyataan pemandu lori mengenai tayar tercabut dan tergolek di lorong tengah.

“Itu yang sedang kita usahakan (pencarian tayar). Semasa kejadian memang pihak polis dan pihak PLUS tiada maklumat berkaitan punca kejadian dan kita sibuk untuk misi menyelamat.

“Setelah tular rakaman papan pemuka (dash cam) dan kenyataan pemandu lori bgtau tayar lorinya tercabut dan tergolek di lorong tengah serta bas langgar tayar tersebut baru pihak polis bertindak mencari tayar berkenaan.

“Cuma setelah selesai kerja-kerja membersih sisa kemalangan, memang tidak jumpa tayar tersebut. Mungkin juga pemandu tu ambil semula tayar tu,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai tujuh mangsa maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Melaka.

Nahas tersebut dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya menyebabkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Mangsa yang maut adalah Khairul Izwan Mazupi, 32, dan isteri Fadzlenna Ramli, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Dua lagi mangsa adalah ibu bapa kepada Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI