KUANTAN – Kerana mahu keuntungan lumayan 20 peratus setiap bulan bagi setiap pelaburan membuatkan seorang pengurus syarikat mengalami kerugian sebanyak RM156,424 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian di Temerloh itu bermula pertengahan September tahun lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berusia 56 tahun ditawarkan pelaburan oleh sebuah syarikat melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek telah menawarkan pelaburan jenis tukaran matawang asing dengan pelaburan sebanyak RM10,000 akan mendapat pulangan sehingga 20 peratus bagi setiap bulan.
“Terperdaya dengan keuntungan yang lumayan dalam tempoh 24 September 2024 hingga 18 Disember 2024 mangsa telah membuat 18 kali transaksi ke empat akaun bank yang berbeza,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM7,000 untuk mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan tersebut.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.
Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE