fbpx

Litar Sepang antara dipertimbangkan venue perasmian Sukma 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Litar Antarabangsa Sepang.

KUALA SELANGOR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Stadium Merdeka antara venue utama dipertimbangkan bagi perasmian penganjuran Temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada Jun 2026.

Ini selepas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang sebelum ini dikatakan sebagai lokasi pembukaan hanya dijangka siap pada 2027.

Exco Belia dan Sukan Salangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihaknya mahu membuka dimensi baharu dengan tidak terikat pada konsep lama bahawa sesuatu pembukaan atau perasmian penganjuran kejohanan sukan dibuat di stadium sahaja.

Tambahan, katanya, Selangor mempunyai kemudahan yang lengkap dari segi fasiliti dan opsyen bagi veneu utama perasmian masih terbuka ketika ini.

“Kalau tengok di Sukan Olimpik di Paris baru-baru ini pun dibuat di atas sungai dengan atletnya diarak atas kapal. Jadi, kita di Selangor pun banyak alternatif dan venue.

“Stadium Merdeka antara kita teliti sebab ada pihak mencadangkannya kerana melihat dari nilai tersendiri termasuk dari segi sejarah kerana ketika stadium itu dibina, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih dalam Negeri Selangor.

“Tidak tolak juga kemungkinan buat di litar Sepang yang ada kemudahan. Opsyen masih terbuka
memandangkan KSSA diramalkan siap 2027 dan kita buka pilihan di beberapa venue yang ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jelajah Belia Madani di Pantai Remis, Jeram di sini hari ini.

Beliau memberitahu, penganjuran Sukma Selangor juga akan disesuaikan dari segi tema dan identiti negeri ini yang semua akan diputuskan selepas penubuhan sekretariat penganjur Sukma Selangor pada minggu depan.

Malah katanya, pihaknya akan cuba melibatkan semua sembilan daerah di Selangor sebagai lokasi bagi acara Sukma itu nanti.

“Kalau kita sedia maklum di Selangor hampir semua kemudahan sukan kita ada cuma isunya kita perlu tambah baik dan naik taraf mana-mana infrastruktur sukan yang mungkin kita akan gunakan dalam Sukma 2026.

“Di peringkat kerajaan negeri, perancangan kita adalah kalau boleh libatkan semua daerah agar limpahan atau impak dari segi pelaksanaannya dinikmati masyarakat sekeliling bila ada satu-satu penganjuran kejohanan baik sukan atau acara.

“Lagipun ini adalah sebahagian pelancongan sukan yang mana kerajaan negeri sedang mempergiatkan dan memastikan selari dengan program dan kempen Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan sukan akan dipertandingankan dalam Sukma Selangor, Mohd. Najwan menjelaskan, ia masih dalam peringkat perbincangan termasuk dengan Majlis Sukan semua negeri dan Majlis Sukan Negara.

Ujarnya, ini termasuk sukan pickleball namun perlu dilihat kepada kesediaan negeri-negeri lain yang turut mempunyai pasukannya.

“(Bagaimanapun) Sukma Selangor, kita mahu fokuskan kepada sukan-sukan teras yang sebelum ini menjadi asas Sukma.

“Maksudnya sukan-sukan berprestasi tinggi yang lebih wajar diutamakan dan hendak dikembangkan dari segi atletnnya dan bukan hanya sukan-sukan popular,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI