NEW DELHI – Seorang lelaki yang diisytiharkan meninggal dunia akibat sakit jantung, kembali bernyawa selepas ambulans membawanya melanggar bonggol penghalang kelajuan di Kolhapur, India, lapor portal berita mint semalam.
Kejadian berlaku pada bulan lalu.
Lelaki berkenaan, Pandurang Ulpe yang berusia 65 tahun, akhirnya dibenarkan pulang dari sebuah hospital selepas menjalani pembedahan meluaskan salur darah pada minggu ini.
Dua minggu sebelum itu, ‘mayat’ lelaki itu dibawa pulang ke rumah untuk upacara terakhir pengebumian.
“Ketika kami membawa mayat Pandurang pulang dari hospital, ambulans melanggar bonggol penghalang kelajuan dan kami perasan ada pergerakan pada jarinya,” kata isteri pesakit kepada agensi berita PTI.
Ambulans itu kemudian melencong ke hospital lain dan Ulpe tidak lama kemudian dimasukkan ke wad unit rawatan rapi.
Seorang ahli keluarga mengesahkan dia telah menjalani pembedahan angioplasti sepanjang dua minggu berada di hospital berkenaan sebelum dibenarkan keluar awal minggu ini.
Pada 16 Disember tahun lalu, dia telah dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Jiran dan saudara mara telah berkumpul di rumahnya sebaik mendengar berita itu dan persiapan untuk upacara pengebumian telah dilakukan. – AGENSI