ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menuntut mana-mana individu yang terlibat dalam insiden kehilangan Batu Puteh kepada Singapura dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya mewakili rakyat Johor menzahirkan rasa penuh dukacita atas pengkhianatan yang telah berlaku.
Sehubungan itu katanya, setiap individu terlibat mesti diheret ke muka pengadilan dan dihakimi oleh perundangan negara di atas pengkhianatan berkenaan.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 5 Disember 2024 berhubung pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan tindakan kerajaan persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018.
“Tindakan itu dibuat meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia, malah mematahkan alasan penghakiman (ICJ) tahun 2008 yang memihak kepada Singapura.
“Antara bukti yang menyokong termasuklah pengiktirafan Hakim Majoriti ICJ bahawa Malaysia melalui Kesultanan Johor telah mempunyai hak milik ke atas pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Batu Puteh sejak kurun ke-17; pengiktirafan Hakim Majoriti ICJ bahawa hak milik Batu Puteh di bawah Kesultanan Johor terus kekal merentasi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Crawfurd 1824 hingga akhir 1840-an serta dokumen rasmi Kerajaan British dari tahun 1950 – 1960an yang sendiri mengiktiraf Batu Puteh sebagai kawasan di dalam perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE