MANCHESTER – Tonggak Manchester City, Bernardo Silva mendakwa mereka sudah tidak berpeluang untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Seandainya berjaya menang ke atas West Ham United di Stadium London malam ini tetapi ia masih terlalu jauh untuk mencabar Liverpool yang turut memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Sebenarnya tiada yang mustahil dalam bola sepak tetapi buat masa ini saya boleh katakan City sememangnya sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan.
“Orang selalu berkata anda tidak menang liga sehinggalah bulan Januari tetapi sekarang sudah terlambat buat kami,” kata Silva.
Sementara itu, bintang veteran City, Ilkay Gundogan seakan menghantar isyarat sesuatu dalam usahanya untuk meyakinkan pihak pengurusan menawarkan perjanjian baharu sebelum kontraknya tamat di Stadium Etihad hujung musim ini.
Gundogan kembali menyertai The Citizens awal musim ini selepas setahun bersama Barcelona, namun pemain tengah berusia 34 tahun itu bergelut untuk menampilkan persembahan terbaiknya.
Prestasi hambar kapten Jerman itu dikatakan antara punca City gagal menyengat apabila menang dua daripada 14 aksi terakhir yang menyaksikan mereka tewas lapan perlawanan dan tiga keputusan seri.
Pengurus City, Pep Guardiola membuat keputusan drastik dengan menggugurkan Gundogan daripada kesebelasan utama yang dilihat membuahkan hasil apabila menang 2-0 ke atas Leicester City dalam aksi terakhir pada 29 Disember lalu. – AGENSI