LONDON – Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus mula melaungkan amaran buat peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool bahawa pasukan itu masih mampu untuk mencabar takhta kejuaraan liga musim ini.
Jesus yang kembali menemui sentuhan selepas meledak enam gol dalam empat perlawanan terakhir berharap dapat membantu The Gunners menamatkan kemarau lebih 20 tahun untuk menjadi juara liga.
Justeru, Arsenal berpeluang merapatkan jurang mata dengan Liverpool sekiranya mencatat kemenangan menjelang perlawanan menentang Brighton yang akan berlangsung di Stadium Amex awal pagi esok.
“Keutamaan saya pada ketika ini adalah untuk terus menjaringkan gol dan membantu pasukan catat kemenangan dalam setiap perlawanan. Kami mahu terus dilabelkan sebagai pencabar kejuaraan liga musim ini.
“Saya tahu perjalanan masih jauh dan kami perlu memastikan pasukan sentiasa berada dalam keadaan baik. Selain mengharapkan pasukan teratas tercicir mata, kami perlu jalankan tanggungjawab sendiri,” kata Jesus.
Pemain Brazil itu berkata, pemain-pemain Arsenal sudah semakin matang dan keadaan itu sama ketika dia memenangi saingan Liga Perdana ketika masih menyarung jersi Manchester City sebelum ini.
“Saya pernah berada di sana (juara liga) ketika bersama City dan saya dapat lihat Arsenal sudah semakin matang. Kami mampu mencabar takhta liga, namun semua pemain perlu sedar masa sekarang masih terlalu awal,” ujarnya. – AGENSI