KUALA PILAH – Sebuah keluarga di Kampung Parit Seberang, di sini, terkejut apabila sebanyak empat kali ular masuk ke rumah mereka dengan kejadian terbaharu awal pagi tadi dalam tempoh kurang tiga minggu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak tiga ekor ular tedung selar seberat dua hingga 5.3 kilogram dan seekor ular sawa telah ditangkap pasukannya di rumah pengadu tersebut.
Menurutnya, kejadian kali pertama pada 21 Disember lalu apabila ular tedung selar seberat dua kilogram masuk ke dalam tandas rumah berkenaan dan kejadian kedua ular dari jenis yang sama seberat lima kilogram berada di bawah rumah.
“Terbaharu, kita menerima aduan daripada penduduk yang sama iaitu lelaki berusia 40an menyatakan terdapat ular tedung selar dalam tandas rumahnya pada pukul 2.30 pagi tadi,” katanya.
Ujar Mohamad Ghazali lagi, operasi mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular berbisa tersebut dengan anggaran berat lima Kilogram dan panjang tiga meter. – KOSMO! ONLINE