DILABEL sebagai najis, terkutuk dan bermacam istilah hina, namun entah kenapa masih ramai manusia masih memilih untuk bersahabat dengan dadah.
Saban tahun, pasti ada sahaja nama selebriti tempatan yang terkait dengan isu dadah.
Untung sabut, terlepas tetapi kalau untung batu, diri sendiri yang terjerat, ditahan pihak berkuasa dan kerjaya hancur lebur begitu sahaja.
Ketika industri seni ‘meriah’ dengan kes perceraian selebriti baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penahanan dua pelawak yang didakwa memiliki barang terlarang iaitu dadah.
Bermula dengan pelawak Along Cham yang mengejutkan ramai apabila ditahan atas dakwaan memiliki bahan disyaki dadah jenis Kanabis di kediamannya di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Meski ditahan bersama sejumlah bahan terlarang jenis ganja yang dianggarkan seberat hampir 60 gram, Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamuddin Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 20 Disember lalu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Jika disabitkan kesalahan, Along boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 10 sebatan.
Along juga membuat rayuan kepada pihak mahkamah dilepaskan dengan jaminan atas alasan mempunyai anak yang bakal bersekolah.
Sayangnya, rayuan untuk diikat jamin ditolak oleh pihak mahkamah dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.
Paling mencuri perhatian pastinya isteri tercinta iaitu Afreena Suhaimi yang setia menanti kepulangan suami tercinta selain mengakui kes tersebut memberi impak emosi kepadanya.
Bahkan, dia juga berjanji akan berusaha untuk membebaskan dan membawa pulang suaminya.
Kurang sebulan, ketika ramai teruja menyambut kedatangan tahun baharu 2025, industri seni sekali lagi dikejutkan dengan penahanan seorang pelawak terkenal di Jeddah, Arab Saudi.
Difahamkan, pelawak yang juga didakwa merupakan anggota sebuah kumpulan terkenal itu sedang dalam rencana umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Selepas kecoh barulah Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia yang juga pelawak popular di Jeddah.
Sehingga Khamis, difahamkan pelawak terbabit ditahan di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu sebenarnya sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.
Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya November lalu.
Kementerian Luar pada Jumaat pula mengesahkan perkara berkenaan.
Berdasarkan kenyataan kementerian yang menegakkan prinsip kerahsiaan dan maruah untuk semua rakyat Malaysia di luar negara, patutlah media berdepan kesukaran mengesahkan indentiti pelawak dimaksudkan.
Penahanan pelawak berkenaan boleh dikatakan antara yang tidak dapat dihidu pada awalnya susulan akaun Instagramnya masih aktif memuat naik pelbagai hantaran sehingga hari ini.
Namun, ketiadaan kelibatnya bersama ahli kumpulan dalam promosi sebuah jenama butik pakaian terkenal menyakinkan ramai tentang satu nama yang tidak boleh diberikan hitam putih.
Sepi tanpa sebarang respons daripada mana-mana pihak, usaha mendapatkan respons daripada rakan seperjuangan serta ahli keluarga juga masih tidak berhasil apabila semua memilih untuk mengunci mulut.
Dari satu sisi berbeza, kisah dua ‘pelawak mendadah’ itu menyegarkan semula ingatan orang ramai mengenai banyak kes dadah melibatkan selebriti tanah air sebelum ini, sekali gus membaja kembali tanggapan negatif dan meragut maruah anak seni lain.