BINTULU – Dua lelaki mati manakala seorang cedera akibat dihempap kepingan kaca di dalam kontena di sebuah kilang di sini semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Asroy dan Aris Munandar disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi oleh pasukan paramedik yang berada di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati tiga mangsa terperangkap, dengan salah seorang berada dalam keadaan sedar.
“Bomba bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dan mengeluarkan ketiga-tiga mangsa dengan menggunakan cangkul, penyeduk, pick axe, tukul dan bantuan jengkaut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut jurucakap itu, mangsa yang masih sedar diserahkan kepada pihak ambulans manakala dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik. – KOSMO! ONLINE