GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dari Kampung Dakoh, Pos Balar di sini yang patah tangan dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.
Mangsa, Aufiq Danniel Dedi, 4, dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas terjatuh ketika bermain di rumahnya.
Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Rizzan Jefri, berkata, mangsa dibawa keluar dari Pos Balar menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139).
Katanya, pihak JBPM menerima arahan penugasan membawa seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dari Pos Balar ke Hospital Gua Musang bersama bapanya, Dedi Asud, 31.
“Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang pada pukul 1.15 tengah hari dan sampai di Kampung Dakoh pada pukul 2.03 petang untuk mengambil pesakit bersama pengiring.
“Pesawat berlepas dari Kampung Dakoh pada pukul 2.06 petang dan tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang kira-kira 19 minit kemudian. Pesakit bersama pengiring dibawa ke Hospital Gua Musang di sini dengan ambulans,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini. KOSMO! ONLINE