KUALA NERUS – Sebahagian sukarelawan yang sedang bergotong-royong membersihkan Pantai Seberang Takir di sini sempena program Pembersihan Pantai Monsun Terengganu terkejut dengan penemuan bangkai seekor penyu hari ini.
Salah seorang sukarelawan tersebut, Adnan Ali, 50, berkata, pada mulanya dia pelik terlihat objek besar sewaktu sedang mengutip sampah di pesisir pantai berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
“Pada mulanya, saya ingatkan ia cuma sampah biasa namun bau busuk kuat menusuk semakin saya menghampirinya.
“Terkejut saya apabila mendapati ia rupa-rupanya bangkai penyu Agar yang sudah mereput,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Seberang Takir di sini hari ini.
Adnan berkata, hatinya sayu melihat cengkerang peyu terbabit sudah terbelah manakala bahagian kaki dan perut pula mereput.
Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu percaya reptilia itu mati akibat terjerat pukat tunda.- KOSMO! ONLINE