fbpx

Badan Perhubungan UMNO negeri senada junjung titah Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PETALING JAYA – Badan Perhubungan UMNO beberapa negeri akur dengan arahan dikeluarkan ibu pejabat parti itu supaya tidak meneruskan himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Melaka, Perak, Kedah, Sabah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu hari ini.

Menerusi kenyataan media berasingan, Badan Perhubungan UMNO terbabit menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif pengampunan banduan menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan keputusan ini tidak sedikit pun mengurangkan rasa kasih kami kepada Najib,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula berkata, UMNO parti sebuah yang konsisten dalam memperjuangkan serta mempertahankan Raja-Raja Melayu.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pihaknya menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan Najib.

Perkara sama ditegaskan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan menaruh harapan tinggi terhadap kebijaksanaan serta keihsanan Yang di-Pertuan Agong memastikan keadilan diberikan kepada Najib.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata, sebarang usaha memberi keadilan kepada Najib perlu melalui saluran yang dibolehkan Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan negara.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Akbar Salim turut berkata, keadilan kepada Najib perlu melalui saluran yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negara.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu juga berpendirian segenap saluran undang-undang yang ada perlu di aplikasi bagi membolehkan perintah tahanan di rumah terhadap Najib dilaksanakan sewajarnya.

“Kami percaya segala isu berbangkit dapat diselesaikan menerusi proses Perlembagaan,” kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Shah Headan Ayoob Hussain Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI