PETALING JAYA – Orang terdekat masih belum terbuka hati menutup aurat dengan sempurna, pendakwah bebas, PU Riz mengakui pendekatannya dalam menegur ahli keluarga ke arah kebaikan dilakukan secara peribadi tanpa melampaui batas.
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 29, berkata, pendekatan itu penting bagi menjaga keharmonian keluarga selain berpendapat tindakan itu tidak perlu dihebohkan kepada khalayak.
“Ramai yang komen, tak tegur ke? Kalau saya nak tegur pun, saya takkan beritahu semua orang.
“Diri saya ini dari dulu sehingga sekarang, saya tak sentuh hal peribadi seseorang secara berlebihan.
“Pernah sekali saya buat, itu pun saya sudah minta maaf kepadanya,” katanya menerusi satu rancangan audio siar.Tambah suami kepada pengacara dan usahawan Neelofa itu lagi, meskipun yang salah tetap salah namun tindakan menasihati harus dilakukan dengan cara bijaksana dan penuh hikmah.
“Saya berpendapat, apa sahaja yang salah, takkan kita diamkan.
“Pada keluarga saya dan mentua pun begitu tetapi adakah kita nak bertindak sebagai seorang yang pemarah? Kita beritahu secara nasihat.
“Sampai bila nak nasihat? Sampai mati kita beri nasihat,” jelasnya.
Paling penting kata bapa kepada dua orang anak itu, teguran kepada seseorang tidak seharusnya dibuat secara melampau sehingga menjatuhkan maruah individu terbabit.
“Saya rasa sesiapa sahaja nak buat konten tentang orang lain, terserah tetapi hati-hati dalam percakapan.
“Jangan melampau, jangan berlebihan macam dia adalah pendosa yang tidak boleh dimaafkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Riz kerap menjadi tumpuan netizen yang mempersoalkan tindakannya menegur adik dan kakak iparnya iaitu Ameera Khan serta Noor Nabila berhubung penampilan mereka yang masih belum berhijab serta berpakaian mencolok mata. – KOSMO! ONLINE