KISAH ‘penyondol’ bukan sahaja popular dalam kalangan peminat sinema Melayu bahkan di Hollywood juga, terdapat ramai selebriti popular yang pernah digelar ‘penyondol’ sehingga berjaya meruntuhkan mahligai sesama rakan selebriti.
Siapa sangka di sebalik kejelitaan serta kemasyhuran yang dimiliki, rupa-rupanya selebriti terbabit pernah hanyut dek cinta suami orang.
Blake Lively
Pelakon jelita yang popular dengan drama bersiri Gossip Girl, Blake Lively dikatakan menjadi punca keruntuhan rumah tangga Scarlet Johansson dan Ryan Reynolds. Lively dan Reynolds mula bermain cinta sewaktu sama-sama terlibat dalam filem The Green Lantern pada 2010.
Pada tahun 2011, Ryan umum bercerai dengan Johanson, manakala Lively pula umum berpisah dengan kekasihnya, Penn Badgley.
Dua bulan selepas bercerai, Reynold dan Blake secara rasmi mengumumkan mereka sedang berpacaran dan akhirnya berkahwin pada 2012.
Kristen Steward
Pelakon yang terkenal dengan filem Twilight, Kristen Steward pernah menjalin hubungan terlarang dengan pengarah filem Snow White And The Huntsman, Rupert Sanders sewaktu pembikinan naskhah tersebut pada 2012. Lebih parah isteri Sanders, Liberty Ross turut membintangi filem yang sama. Ketika itu Steward masih berpacaran dengan kekasihnya, Robert Pattinson, namun mereka berpisah selepas kisah skandalnya tersebar. Sanders juga telah bercerai dengan isterinya gara-gara skandal tersebut.
Ariana Grande
Siapa sangka penyanyi comel juga bintang Wicked itu boleh terjerat dalam cinta bersama suami orang. Namun, itulah hakikatnya. Ariana dikatakan telah menjadi punca keruntuhan rumah tangga pelakon Ethan Slater selepas mereka menjalin hubungan cinta sewaktu sama-sama membintangi filem Wicked pada 2023.
Namun, hubungan mereka mendapat tentangan ramai terutamanya peminat Ariana kerana rupa Slater yang tidak kacak.
Marilyn Monroe
Biarpun telah lebih enam dekad berlalu, namun skandal bintang ikonik Hollywood, Marilyn Monroe masih diperkatakan sehingga hari ini. Monroe dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy (JFK) yang sudah pun berkahwin. Spekulasi hubungan mereka menjadi lebih panas selepas Monroe membuat persembahan menyanyikan lagu Happy Birthday sempena ulang tahun kelahiran ke-45 JFK.
Monroe turut dikatakan menjalin hubungan dengan adik JFK. Kematian mengejutnya pada Ogos 1962 juga dikatakan ada kena mengena dengan hubungan cinta mereka. Dia dikatakan mahu membuat sidang akhbar mengenai hubungan cintanya sebelum ditemui tidak bernyawa kerana ‘overdose’.
Angelina Jolie
Jelitawan berbibir seksi, Angelina Jolie menjadi tajuk hangat akhbar seluruh dunia apabila menjalin hubungan cinta dengan pelakon kacak, Brad Pitt yang ketika itu merupakan suami kepada Jennifer Aniston.
Hubungan cinta mereka mula berputik selepas masing-masing membintangi filem Mr & Mrs Smith pada 2005. Pitt akhirnya menceraikan Aniston berkahwin dengan Angelina pada2014. Namun, hubungan mereka tidak bertahan lama dan akhirnya bercerai pada 2019.