fbpx

Warga emas maut akibat radang paru-paru selepas diragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita warga emas mengalami kecederaan selepas diragut dalam kejadian di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar, Kuala Lumpur, 7 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Warga emas, Lim Foong Mei yang menjadi mangsa ragut di Bangsar di sini pada 7 Oktober lalu meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru pada Isnin lalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob yang memberitahu, kes jenayah tersebut dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini punca kematian disebabkan pneumonia, namun kita masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis akan menyemak semula kes ragut melibatkan seorang warga emas di Bangsar selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, cadangan bagi perubahan dalam pertuduhan dihadapi M. Thanabalan, 38, akan dibuat bergantung kepada hasil semakan kelak.

“Suspek dituduh di mahkamah, mangsa (warga emas) dibenarkan keluar dari hospital dan siasatan lanjut akan dibuat berhubung punca kematiannya sama ada ada kaitan kecederaan semasa diragut,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa berjalan ke kedai di Jalan Limau Manis sebelum seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya kira-kira pukul 6.30 petang.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dibantu orang awam yang kemudian membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI