SHAH ALAM – Polis mengesahkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa yang melanggar sehingga menyebabkan kematian petugas klinik kesihatan di Kilometer 32, Jalan Klang–Teluk Intan pegawai kanan yang bertugas di Bukit Aman.
Dalam kejadian pukul 6.17 petang, 31 Disember lalu, mangsa lelaki berusia 57 tahun melambung ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semasa kejadian, pegawai tersebut sedang bercuti dan dirawat di hospital kerana turut mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Katanya, berdasarkan video tular berkemungkinan pegawai tersebut terlelap atau microsleep semasa memandu.
“Bagaimanapun, kita tunggu keputusan siasatan.
“Kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan atau tidak, ujian air kencing didapati negatif selain mengambil keterangannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan perjalanan pulang seorang kakitangan klinik kesihatan berakhir dengan tragedi apabila motosikal ditunggang dirempuh SUV di Jalan Klang – Teluk Intan, Kuala Selangor.
Hussein memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dan adil.
“Sekiranya dia (pegawai polis) didapati bersalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan, kita akan ambil tindakan sewajarnya.
“Siasatan dimulakan bersabit dengan kesalahan di bawah seksyen kemalangan maut. Kita akan rujuk pendakwa raya secepat mungkin untuk sebarang keputusan,” ujarnya.
Kata beliau, pihaknya yakin dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
“Yang penting, kita lengkapkan siasatan daripada saksi-saksi yang ada di tempat kejadian. Selain itu, dibantu keterangan daripada rakaman kamera papan pemuka yang kita sudah perolehi dan juga rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan tersebut, ” katanya. – KOSMO! ONLINE