SHAH ALAM – Tiada unsur jenayah dalam kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika menjalani latihan pada November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak pendakwaan memutuskan demikian selepas meneliti kertas siasatan yang dihantar pihaknya sebelum ini.
Katanya, sebanyak 64 keterangan telah ambil berhubung kematian pelatih itu.
“Pihak pendakwa raya memutuskan tiada sebarang kesalahan atau foul play dalam insiden tersebut. Mangsa meninggal dunia disebabkan strok haba,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya memutuskan siasatan kes selesai dan keputusannya tiada kesalahan jenayah oleh mana-mana pihak.
Sebelum ini seorang pelatih Palapes sebuah universiti maut pada 13 November lalu selepas bapa mangsa mendakwa anaknya didera secara fizikal termasuk dipijak dada selain dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatih Palapes.
Polis kemudian mengesahkan kematian Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang meninggal dunia pada 13 November lalu akibat strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Mahasiswa itu meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital pada 10 November lalu. – KOSMO! ONLINE