WASHINGTON – Suspek serangan New Orleans yang menyebabkan 15 orang maut kelmarin dipercayai bertindak berseorangan, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) seperti laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Maklumat terkini itu bertentangan dengan yang dikeluarkan oleh agensi tersebut sebelum ini yang percaya bahawa beberapa orang terlibat dalam membantu suspek, Shamsud-Din Jabbar.
Shamsud, seorang warga Amerika Syarikat (AS) berusia 42 tahun, kini menjadi satu-satunya suspek dalam serangan itu selepas dia didakwa memandu sebuah trak pikap ke arah orang ramai di sebatang jalan yang sibuk.
Dia kemudian keluar dari kenderaan itu dan melepaskan tembakan tetapi ditembak mati oleh polis di tempat kejadian, manakala FBI berkata, bendera Daesh ditemui di dalam kenderaan yang dipandunya.
Polis berkata, dua alat letupan buatan (IED) turut ditemui berhampiran.
“Rakaman kamera pengawasan memaparkan suspek meletakkan setiap peranti letupan itu di dalam peti penyejuk di sepanjang Bourbon Street di New Orleans,” kata Timbalan Penolong Pengarah bahagian Anti-Keganasan FBI, Christopher Raia.
Bercakap kepada pemberita, Raia menjelaskan bahawa berdasarkan bukti terkini yang ada, suspek dipercayai bertindak bersendirian.
Sementara itu, askar pasukan khas yang meletupkan sebuah Cybertruck Tesla di luar Trump International Hotel di Las Vegas menembak dirinya sendiri sebelum letupan itu, kata pihak berkuasa semalam.
Pihak berkuasa berkata, suspek dikenal pasti sebagai Matthew Alan Livelsberger dan merupakan anggota pasukan elit Green Beret.
“Dia mempunyai kesan tembakan di kepala dan pistol ditemui di kakinya,” kata pegawai kepada pemberita pada sidang media di Las Vegas. – AFP/AGENSI