Apakah status air kolam yang telah tercemar dengan wanita yang bermandi- manda dalam keadaan haid? Mohon pencerahan.
Jawapan: Status air kolam renang yang bercampur dengan darah haid dianggap air mutannajis (bercampur dengan najis) sekiranya kolam tersebut kurang isi padu air daripada dua kolah.
Dua kolah bersamaan 200 kilogram (kg) atau 204kg bersamaan lebih kurang dengan 200 liter.
Status air kolam renang yang bercampur dengan haid dianggap air suci sekiranya isi padu air mencapai dua kolah dengan syarat tiada kesan bau, warna atau rasa. Jika darah haid tersebut menyebabkan berubahnya air dengan salah satu daripada tiga kesan bau, warna, rasa atau ketiga-tiga sifat tersebut, walaupun isipadu hampir dua kolah, maka air tersebut dihukumkan sebagai mutanajjis.
Penanda aras bagi menentukan air suci menjadi air bernajis (mutanajjis) apabila berlaku perubahan bau, warna atau rasa. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda : “Air tidak boleh menjadi najis melainkan jika berubah bau atau rasanya,”. (Riwayat Al-Baihaqi (1274) di dalam Al-Sunan Al-Kubra)
Menurut riwayat lain, sabda Nabi SAW: “Air itu suci dan menyucikan tiada sesuatu yang menajiskannya melainkan jika berubah salah satu sifat bau, rasa dan warnanya”. (Ibn Majah, 521)
Manakala kekuatan air dua kolah tidak menjadi mutanajjis selagi mana tidak berubah sifatnya (bau, warna atau rasa) berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda: “Jika kandungan air mencapai dua kolah, maka ia tidak mengandungi kotoran.”
Dalam suatu lafaz hadis: “Tidak bernajis”. (Riwayat Abu Daud, 63)
Terdapat riwayat lain yang mana Baginda SAW menyifatkan air di telaga yang bernama Buda’ah kekal suci dan menyucikan kerana isipadu air banyak melebihi kadar dua kolah, walaupun telah dicampak ke dalamnya kain yang terkandung darah haid.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Adakah boleh kami mengambil wuduk daripada telaga Buda‘ah iaitu telaga yang dibuangkan di dalamnya kain-kain digunakan perempuan haid (terkandung darah haid), benda yang berbau busuk dan daging anjing. Nabi SAW menjawab: “Air itu suci dan tidak ada sesuatu yang menajiskannya.” (Riwayat al-Tarmizi, 66)
Fuqaha Syafieyyah menyatakan hadis berkaitan telaga Buda’ah tidak bertentangan dengan hadis berkaitan dua kolah kerana airnya terlalu banyak sehingga tidak terkesan dengan najis yang masuk di dalamnya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/85)
Maksud air yang banyak ialah ia tidak berubah sifat-sifatnya dengan sebab kewujudan najis di dalam telaga Buda’ah. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/86).
Menurut Sheikh al-Islam Zakaria al-Ansari, kadar air yang mencapai kapasiti dua kolah atau lebih tidak dihukum mutanajjis selagi mana tidak berubah sifatnya (bau, warna atau rasa).
Ia merupakan pandangan yang disepakati oleh para ulama. (Rujuk Asna al-Mathalib, 1/15).