SHAH ALAM – Perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan antara motif disiasat berhubung kes pembunuhan remaja Yap Xin Yuan, 15, yang mayat ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu laporan dan keputusan toksikologi sebelum motif dapat diperkukuhkan dalam kes tersebut.
Katanya, berdasarkan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek termasuk teman lelaki mangsa berusia 16, 20, dan 51 tahun adalah negatif.
“Masih tunggu keputusan toksikologi sama ada si mati ada menggunakan sebarang bahan dadah. Motif kita nampak mangsa melibatkan teman lelakinya masih dalam siasatan lagi sama ada libatkan perselisihan faham sehingga kematian atau dadah.
“Selagi tidak dapat keputusan itu (toksikologi dan bedah siasat), tidak boleh kata mengambil dadah atau overdose,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Beliau memberitahu, keadaan mayat remaja yang reput ketika dijumpai tersebut menyukarkan pihak pakar patologi untuk memastikan sebarang kecederaan fizikal yang lain.
Hussein menjelaskan, pihak percaya penglibatan teman lelakinya dalam pembuangan mayat mangsa.
“Sama ada orang lain ada bantu atau tidak, juga dalam siasatan lagi,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang pada 30 Disember lalu.
Xin Yuan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Remaja tersebut tidak pulang ke rumah selepas latihan dan sebaliknya dikatakan mengikuti rakannya ke satu lokasi yang belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE