PETALING JAYA – Pelakon jelita Erra Fazira telah memberi bayangan hatinya kini sudah dimiliki.
Semuanya gara-gara satu ucapan yang dibuat bekas ratu cantik itu dalam akaun Instagram ditujukan kepada seseorang yang tidak didedahkan identitinya.
Menerusi hantaran dalam Instastory, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek,50, membuat ucapan ulang tahun kelahiran buat insan yang disifatkannya sebagai mendamaikan.
“Selamat ulang tahun buat kamu yang mendamaikan. Moga Allah perkenankan segala doa dan harapan yang terindah dalam kehidupan dunia dan akhirat,” tulisnya.
Namun apa yang menguatkan lagi spekulasi hatinya kini sedang mekar dengan bunga-bunga cinta adalah gambar latar ucapan tersebut yang memaparkan sosok lelaki dan wanita yang digelapkan.
Pelakon filem Soal Hati itu juga menggunakan lagu latar berjudul Semoga Abadi nyanyian Misha Omar dalam hantaran tersebut.
Erra sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi, Shahir Zawawi namun lelaki itu kini sudah berkahwin.
Untuk rekod Erra pernah berkahwin dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003 namun bercerai pada 2006. Dia kemudian dia sekali lagi mendirikan rumahtangga pada 2007 bersama Engku Emran.
Bersama Emran, dia dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16 tetapi mereka berpisah pada 2014. – KOSMO! ONLINE