RIYADH – Pemain sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo dilaporkan bersedia untuk ‘angkat kaki’ dengan berhijrah ke negara baharu selepas kontrak bersama kelab gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr berakhir pada penghujung musim ini.
Menurut laporan, spekulasi pemain berusia 40 tahun itu berhijrah semakin kencang selepas tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menandatangani kontrak baharu bersama pasukan berpangkalan di Riyadh itu.
Meskipun kelihatan gembira dengan kehidupan di Arab Saudi, Ronaldo yang juga bekas bintang Real Madrid bersedia untuk menerima tawaran serta ‘projek’ baharu daripada mana-mana pasukan selepas ini.
Situasi ini sekali gus membuka ruang buat pasukan ternama berbincang dan menawarkan pra-kontrak untuk ditandatangani Ronaldo pada jendela perpindahan yang dibuka bermula bulan ini.
Ronaldo dilihat gagal membantu skuad kendalian Stefano Pioli itu untuk menjuarai sebarang trofi berprestij sejak berhijrah ke liga berprestij benua Asia itu pada tahun 2023.
Sebagai rekod, Ronaldo sebelum ini mengambil keputusan untuk berhijrah ke Arab Saudi selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan lebih awal susulan selepas bergaduh dengan bekas pengurus, Erik ten Hag.
Kini, Ronaldo yang masih dianggap sebagai antara penyerang paling berbisa di dunia difahamkan mahu beraksi di peringkat tertinggi kerana meletakkan sasaran untuk bersaing pada saingan Piala Dunia 2026. – AGENSI