fbpx

Rob Friend perlu usaha cari dana bantu Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rob Friend bakal memulakan tugas selaku CEO secara rasmi pada bulan ini. - Gambar dan grafik ihsan FAM

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) pertama skuad Harimau Malaya, Rob Friend disaran tidak sekadar menunggu ‘durian runtuh’ sebaliknya perlu bekerja keras mencari dana bagi meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Pemerhati sukan tanah air, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya Friend hadir dengan reputasi yang hebat, tetapi dalam masa sama memikul tanggungjawab yang begitu berat.

Kata Zulakbal, tugas utama Friend adalah untuk memastikan ‘kantung’ kewangan skuad kebangsaan sentiasa positif supaya tidak terlalu bergantung dengan dana yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Sudah tentu kita mahu melihat apa yang Friend boleh sumbangkan selepas menjadi CEO pertama skuad kebangsaan.

“Saya harap dia mampu memberikan sumbangan terutama dalam mencari dana tambahan untuk memajukan lagi skuad kebangsaan.

“Ini kerana itulah tugas yang perlu digalas seorang CEO dan bukan sekadar habiskan duit yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, Zulakbal yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyeru peminat mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum membuat sebarang kritikan terhadap Friend.

“Ini adalah kali pertama dia menjadi CEO sesebuah skuad kebangsaan dan kita perlu berikan masa kepadanya untuk memberi impak yang diharapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI