PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan enam negeri sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, ia membabitkan Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.
“Bagi Perak, cuaca buruk dijangka melanda Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Selain itu, di Pahang, hujan lebat hanya tertumpu di Bentong, manakala di Selangor melibatkan Hulu Selangor dan Gombak,” katanya hari ini.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, ribut petir dijangka berlaku di Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin, termasuk keseluruhan negeri Melaka.
“Cuaca buruk di Sarawak melibatkan Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Mukah (Dalat dan Mukah) serta Kapit (Song),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE