BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut selepas motosikal jenis SYM ditungganginya bertembung dengan motosikal jenis Honda Dash dalam kemalangan di Kampung Bukit Jeruk di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 7.40 malam itu menyebabkan mangsa, Wan Ahmad Hakim Wan Abd. Aziz, 13, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal Honda Dash pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan paha.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Salleh berkata, sewaktu kejadian, Wan Ahmad Hakim dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Bukit Jeruk dari Kampung Benting Lintang di sini.
“Motosikal ditungganginya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Impaknya motosikal mangsa telah merempuh sebuah motosikal jenis Honda Dash dinaiki seorang lelaki berusia 20 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Md. Sani berkata, Wan Ahmad Hakim disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat remaja itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE