LONDON – Polis mengeluarkan imej memaparkan seorang penghendap (stalker) memakai topeng ala Spider-Man dan meninggalkan bungkusan misteri di hadapan pintu rumah seorang mangsa, lapor akhbar The Sun UK hari ini.
Polis Britain melancarkan siasatan ke atas siri insiden yang membimbangkan di sebuah rumah di Hailsham, Sussex.
Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek yang memakai penutup muka itu tiba di depan pintu rumah mangsanya, berhampiran Jalan Western.
Dia meninggalkan bungkusan di luar pintu pada kira-kira pukul 7.10 malam (waktu tempatan), Sabtu lalu.
Insiden serupa berlaku pada Februari dan Ogos tahun lalu, di mana dia menyembunyikan wajahnya dengan memakai topeng Spider-Man.
Polis Sussex menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penghendap itu untuk tampil memberikan maklumat. – AGENSI