PUTRAJAYA – Penjawat awam di negara ini perlu menjadi contoh dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya dalam kumpulan negara berkembang selain negara Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan menjadi contoh kepada negara lain itu dapat diterjemahkan selepas Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra mahu meningkatkan kerjasama selepas melihat kejayaan perkhidmatan awam khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Di beberapa negara lain seperti di Mesir, permintaan presiden juga supaya hubungan dan kerjasama dengan perkhidmatan awam itu ditingkatkan kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat kaedah pentadbiran Malaysia.
“Ini bukan khidmat dan jasa saya, ini bukan kerana saya perdana menteri, ini kerana tradisi dan warisan.
“Peranan kita sekarang ialah memberikan sedikit lagi kejutan supaya semangat ini ditingkatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE