fbpx

Penganggur bawa dadah RM204,000 dalam beg plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah dan senjata parang yang dirampas dalam serbuan di Bukit Mertajam, hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki tempatan di pekarangan rumahnya di Bukit Mertajam, dekat sini, awal pagi tadi.

Suspek yang juga penganggur berusia 39 tahun itu ditahan menerusi serbuan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kira-kira pukul 4.15 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penahanan ke atas suspek dilakukan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap motosikal miliknya yang diparkir di depan rumah berkenaan.

“Terdapat lima bungkusan plastik disyaki syabu seberat 6.1 kilogram dengan nilai anggaran RM195,200, selain itu turut dijumpai bungkusan plastik disyaki heroin seberat 900 gram bernilai RM8,800. Keseluruhan rampasan boleh digunakan untuk 35,000 kali penggunaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, risikan mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak September 2024 dengan menjadikan kawasan sekitar Pulau Pinang sebagai pasaran utama.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, dan THC (tetrahydrocannabinol). Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI