SEREMBAN – Seorang pembantu tadika didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu berkaitan pelaburan tidak wujud melibatkan jumlah kerugian RM1.64 juta.
Tertuduh, Rozma Yunus, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi masih bebas telah didapati menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdayakannya supaya melabur dalam satu pelaburan tidak wujud.
Yang mana tertuduh telah dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM1,545,824 dan RM97,800 secara dalam talian ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 12 Julai 2017 hingga 1 September 2022 di Kampung Tok Dagang dan Taman Panchor Jaya, Paroi di Seremban.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nadia Ezzati Mohd. Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai dan Lee Boon Shian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Februari depan. – KOSMO! ONLINE