KUANTAN – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal jenis Honda RSX yang ditunggang terbabas di Kilometer 210, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Kuala Lumpur di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, mangsa, Muhammad Daniel Firdaus Mohd Sukri,17, dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Maran.
“Kejadian berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan maut di lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Menurutnya, mayat remaja lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE