KLUANG – Seorang penuntut Kolej CIAST Shah Alam maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 59, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran simpang masuk ke Felda Ulu Penggeli di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Baharin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu mengorbankan Muhammad Fareedzul Anuar, 24, yang menunggang motosikal NVX 155 jenis Yamaha.
Nahas turut melibatkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan Proton Saga.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika penunggang motosikal dari arah Kluang mahu memasuki simpang kanan ke Felda Ulu Penggeli sebelum berlanggar dengan Perodua Alza dari arah Kota Tinggi.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak atas cermin hadapan Perodua Alza dari arah Kluang sebelum terjatuh ke tengah jalan.
“Kereta Proton Saga yang berada di belakang Perodua Alza tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bahrin, akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu MPV dan Proton Saga berusia 21 hingga 39 tahun bagaimanapun tidak cedera. – KOSMO! ONLINE