KUBANG PASU – Pelancong Thailand tertarik untuk mengunjungi Gunung Jerai serta kafe-kafe tular di sekitar Bandar Raya Alor Setar yang disifatkan berbeza di negara mereka.
Seorang ejen pelancongan Thailand yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Satun di Songkhla, Rosee Bikadem berkata, selain itu Langkawi turut menjadi perhatian orang Thailand yang ingin membeli belah barangan bebas cukai termasuk coklat.
“Saya menerima banyak tempahan daripada penduduk di kawasan itu untuk mengunjungi lokasi berkenaan.
“Orang Thailand mencari sesuatu yang berbeza yang tidak ada di negara kami dan pusat pelancongan seperti Gunung Jerai menjadi perhatian ketika mereka memilih untuk melancong ke Kedah.
Mungkin kerana cuaca yang sejuk dan pemandangan menarik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini kelmarin.
Katanya, banyak aktiviti boleh dibuat selain ‘healing’ melihat pemandangan dari pelantar di Gunung Jerai termasuk muzium, air terjun dan resort untuk bermalam.
“Mereka juga suka bersiar-siar di Kedah termasuk membeli belah di pusat beli-belah di Alor Setar dan makan di restoran terkenal di sini,” katanya.
Jelasnya, setiap bulan beliau menerima tempahan antara 500 hingga 1,000 pelancong dari Songkhla untuk melancong ke Malaysia termasuk Kedah.
Seorang pelancong, Pimcanok Prismsai, 37, berkata, dia bersama rakan-rakan sering ke Kedah untuk ‘memburu’ kafe-kafe yang tular.
“Kedah banyak kafe cantik dan selesa. Makanan pun sedap. Misalnya kalau nak sambut hari lahir ke, kami akan pilih datang ke sini selepas itu jalan-jalan di Aman Central.
“Saya bercadang ke Langkawi pula nanti untuk membeli-belah kerana barang di sana murah seperti coklat,” katanya.