KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu pengampunan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penyertaan perhimpunan tidak sah disifatkan bertentangan dengan undang-undang dan tidak menghormati proses rasmi sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, proses mendapatkan pengampunan adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah dikemukakan secara rasmi melalui Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau mana-mana saluran tidak sah.
“PDRM ingin mengingatkan bahawa tindakan menyertai perhimpunan bagi tujuan ini bukan sahaja tidak mengikut saluran yang betul, malah boleh mengundang risiko kepada ketenteraman awam. Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan sudah jelas memandu proses pengampunan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin menegaskan, pihak polis sentiasa menjunjung tinggi titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyeru rakyat untuk menghormati undang-undang negara dan menjaga keamanan.
“Mana-mana perhimpunan yang tidak sah hanya akan membawa kepada ketidaktenteraman dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
“Semua pihak harus memahami bahawa undang-undang adalah asas kepada kestabilan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa rakyat perlu mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, dalam setiap tindakan mereka.
“Proses pengampunan merupakan mekanisme perundangan yang sah dan perlu dihormati. Marilah kita bersama-sama memastikan keharmonian negara terus terpelihara dengan mematuhi lunas undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Perkara tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut. -KOSMO! ONLINE.