fbpx

Megat Shahriman tiada masalah berdepan Shapawi di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEGAT tiada masalah untuk hadir ke mahkamah.

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bersedia hadir ke mahkamah bagi mempertahankan tindakannya melaporkan isu rasuah yang berlaku sewaktu proses pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan pada 14 Disember lalu.

Katanya, beliau mengikut proses yang betul dan terdapat bukti terutama isu rasuah sebelum melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehari sebelum pemilihan AGM MPM 2025-2029 diadakan untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, beliau mengambil maklum tindakan yang dilakukan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi yang membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya semalam terhadapnya untuk menafikan tuduhan rasuah tersebut,

Bagaimanapun, Megat menyatakan kurang pasti sama ada Shapawi telah membuat kajian terlebih dahulu sebelum bertindak sedemikian.

“Saya mengambil maklum mengenai laporan polis yang dibuatkan oleh Datuk Shapawi dan saya tidak pasti sama ada mereka membuat kajian terdahulu mengenai aduan yang saya buat kepada SPRM sebelum ini.

“Apabila timbul hari ini seolah-olah menampakan mereka tidak tahu inti pati sebenar dan hanya membuat tindakan memalukan diri sendiri.

DATUK Ahmad Shapawi membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya untuk menafikan tuduhan rasuah.

“Untuk pihak yang kalah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis. Semua rakyat Malaysia boleh buat laporan, saya hanya biarkan sahaja pihak berkuasa jalankan siasatan.

“Mereka hendak buat (laporan) terpulang, ini negara bebas, bebas bersuara. Anda ‘menghantar’ kepada saya, saya hanya ‘menunggu’. Apa mahkamah dalam dunia pun saya akan hadir. Walaupun ke Switzerland sekali pun. Anda hendak saman, saya akan hadir, tiada masalah,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hukuman kepada persatuan yang mencabar keabsahan AGM tersebut, Megat menyerahkan keputusan tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib yang dibentuk tidak lama lagi.

“Saya tidak tahu persatuan yang membuat aduan, tetapi saya menyerahkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Tatatertib yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

“Kadang-kadang kita terlalu berlembut, tetapi kita perlu kembali melihat semula kepada disiplin. Jika tindakan berkenaan tidak mempunyai asas yang sah, tiada bukti, dan boleh menjejaskan imej serta merosakkan hubungan saya biarkan kepada keputusan Jawatankuasa Tataterbit.

“Lagipun, ini bukan keputusan saya kerana Jawatankuasa Tatatertib yang akan membuat keputusan. Buat masa ini, AGM baru sahaja selesai dan jawatankuasa belum lagi dilantik, mungkin mereka akan tentukan.

“Pada 7 Januari ini, kita akan mengadakan mesyuarat dan itu merupakan mesyuarat Exco pertama yang akan diadakan, dan di sana, portfolio apa yang akan mereka putuskan. Jadi, Jawatankuasa Tatatertib akan menilai perkara ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN