KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri untuk menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan Kongres FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadual berlangsung pada 15 Februari tahun depan.
Katanya, beliau bersedia untuk mengisi jawatan No. 1 badan induk tersebut tanpa menerima satu sen daripada gaji yang bakal diperoleh sekiranya menjawat ‘kerusi panas’ tersebut.
“Undi saya, saya tak ambil gaji satu sen pun. FAM sebuah badan induk yang besar, kalau ramai masuk bertanding seronok juga. Sehari sebelum tarikh tutup pencalonan saya akan letak pencalonan.
“Apa pun, perkara pertama yang perlu saya lihat sekiranya menjawat jawatan presiden ialah liabiliti FAM dan kewangan. Perkara ini perlu untuk membolehkan ahli gabungan tahu secara telus terutama mengenai dana yang dimiliki dan ke mana ia disalurkan.
“Jika ada ketirisan, saya perlu telus sama ada perlu membuat laporan polis atau melakukan audit dalaman kerana ini adalah perkara paling penting, tiada apa hendak disembunyikan dan kita terbuka.
“Kita juga akan berbincang (antara ahli gabungan negeri) terutama persatuan yang nazak terutama keperluan mereka. Segala ketirisan perlu dilihat semula agar dana kembali kepada ahli gabungan. Kalau dana tidak pergi ke ahli gabungan apa gunanya.
“Saya bersedia bekerjasama dengan sesiapa sekali pun dan tidak terikat dengan mana-mana pihak ketika ini. Semua pekerjaan harus dilakukan dengan telus. Apapun, terpulang kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.
Mengikut statut FAM, mana-mana individu boleh bertanding merebut jawatan No. 1 itu dengan syarat mereka perlu mendapat pencalonan yang mencukupi daripada ahli gabungan.
Bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan, manakala lima pencalonan untuk timbalan presiden diikuti naib presiden (empat pencalonan) dan exco (dua pencalonan).
Terdahulu, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari ini.
Ketika ini, beberapa calon seperti ahli perniagaan dan individu korporat menawarkan diri untuk merebut jawatan tersebut. -KOSMO! ONLINE