PETALING JAYA – Senai Airport City Sdn. Bhd. dan Lincotec Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. anak syarikat milik penuh Linco Technology Co., Ltd. telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi kira-kira 9.93 ekar tanah perindustrian di zon perindustrian bebas Senai Airport City, baru-baru ini.
Majlis itu diadakan di ibu pejabat Linco Technology di Taiwan, yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong, dan Pengerusi Linco Technology Co., Ltd., Leon Chen.
Menurut Gan, pilihan Linco Technology untuk melabur di Senai Airport City menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Johor dalam industri kecerdasan buatan (Al).
“Sebagai sebuah taman perindustrian yang strategik, Senai Airport City berfungsi sebagai lokasi utama bagi industri yang terlibat dalam pembuatan berteknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi.
“Pelaburan Linco Technology dalam sistem semikonduktor dalam pakej (SiP) menggariskan kedudukan Senai Airport City sebagai pilihan pelabur untuk segmen semikonduktor, khususnya dengan aplikasi teknologi hijau,” katanya.
Lincotec ditubuhkan pada tahun 1999 dan beribu pejabat di Central Taiwan Science Park di Taichung, Taiwan yang pakar dalam membangunkan dan mengeluarkan peralatan ‘sputtering’ dan etsa plasma berketepatan tinggi.
Ia merupakan pembekal peralatan ‘sputtering’ nombor satu dunia untuk ‘electromagnetic interference shielding’ atau perisai gangguan elektromagnetik (EMI) sistem semikonduktor dalam pakej (SiP).
Dengan memanfaatkan kecekapan terasnya dalam sputtering vakum dan etsa plasma, Lincotec telah pun menjadi rakan kongsi strategik kepada syarikat teknologi terkemuka dunia. – KOSMO! ONLINE