SANDAKAN – Lima individu cedera selepas serang lelaki yang bersenjatakan parang dan tukul dalam kejadian di sebuah restoran di Batu 3 di sini pagi tadi.
Suspek berusia 29 tahun dipercayai mengamuk secara tiba-tiba sebelum mencederakan lima mangsa termasuk tiga wanita dalam kejadian pukul 9.11 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sebuah kereta peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi dan anggota polis berjaya mententeramkan suspek sebelum menangkap lelaki tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek datang ke kedai makan itu sebelum menyerang mangsa yang berada di dalam restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dua lelaki dan tiga wanita berusia 34 hingga 63 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Duchess Of Kent. Keadaan kelima-lima mangsa dilaporkan stabil.
Katanya, suspek yang tidak mengalami kecederaan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE