HULU TERENGGANU – Seorang lelaki yang menderita penyakit tibi ditemui mati bersendirian di dalam rumah pusaka peninggalan keluarganya di Kampung Kuala Ping di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 49 tahun ditemui terbujur kaku di dalam rumah itu oleh salah seorang jirannya pada pukul 1. 35 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, berdasarkan keterangan ahli keluarga terdekat, mangsa menghidap penyakit tibi dan diabetes serta mendapatkan rawatan berkala di Klinik Kesihatan Tengkawang di sini.
“Jiran-jiran mengatakan terdengar mangsa yang bekerja kampung terbatuk-batuk dengan agak kuat pada pukul 2 pagi semalam.
“Sewaktu ditemui, mayat lelaki yang tidak pernah berkahwin itu sangat kurus dan didapati tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zainul Mujahidin berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut tinggal bersendirian di rumah pusaka peninggalan keluarganya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mengesahkan kematian mangsa disebabkan penyakit tibi. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE