KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada unsur penderaan dalam kes kematian empat ekor kucing di Universiti Malaya (UM) di sini sejak 17 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob berkata, empat daripada lima laporan penemuan bangkai kucing di universiti itu berpunca daripada gigitan haiwan seperti anjing liar.
Katanya, satu laporan terbaharu diterima semalam, namun pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) masih menyiasat punca kematian kucing tersebut.
“Hasil siasatan dua bangkai yang dijumpai pada 17 Disember lalu disahkan gigitan haiwan, manakala dua lagi (20 dan 25 Disember) akibat kecederaan parah di dada dan mengakibatkan luka dan pendarahan di jantung.
“Bedah siasat (bangkai) mendapati tiada unsur penderaan oleh manusia kerana tiga kaki koyak, tulang kaki patah tidak sekata bukannya berpunca daripada objek tajam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr. Mohd. Razli Abdul Razak; Pengarah Makmal Veterinar Zon Tengah DVS, Dr. Mohd. Shafarin Shamsuddin dan Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan DVS, Dr. Marzuna Md. Yunus.
Azry Akmar berkata, bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember lalu mengalami patah tulang rusuk kiri selain kesan koyakan pada jantung selari berpunca dari tusukan rusuk patah serta tiga luka koyakan berbeza di perut.
Bagi empat kes terdahulu, sebanyak 11 rakaman percakapan terdiri daripada pensyarah, pelajar, polis bantuan, aktivis Haiwan dan doktor veterinar diambil.
Selain itu, tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) diperoleh sebaliknya ia hanya memaparkan keberadaan sekumpulan anjing liar sebanyak lima ekor.
“Bagi laporan penemuan bangkai kucing semalam, kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
“Bangkai kucing itu diserahkan kepada DVS bagi tujuan bedah siasat manakala tiga individu terdiri daripada pengadu, rakan pengadu dan kakitangan keselamatan, ” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan universiti terbabit bagi tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan kegelisahan terhadap orang ramai. -KOSMO! ONLINE