ISKANDAR PUTERI – Kesesakan jalan di laluan utama serta pusat bandar negeri ini dijangka akan meningkat ekoran pelaksanaan pertukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad, bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, hal itu disebabkan waktu puncak yang kini sama bagi kakitangan kerajaan, pekerja swasta serta rakyat Singapura.
“Oleh itu kita sedang melakukan pelbagai naik taraf jalan termasuk pelebaran lebuhraya utara-selatan, lebuhraya Pasir Gudang serta laluan-laluan utama lain untuk mengatasinya.
“Walaupun dilakukan secara berperingkat, tetapi kami sasar ia dapat bantu menyuraikan trafik sekaligus mengelak kesesakan menjadi lebih teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia / Kosmo! ketika ditemukan, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, antara usaha jangka masa panjang diambil bagi menyelesaikan masalah itu termasuklah pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu di Johor Bahru.
“Tiga laluan telah dikenalpasti bagi membantu menyuraikan trafik keluar dan masuk kawasan pusat bandar Johor Bahru, iaitu laluan Iskandar Puteri, laluan Tebrau dan laluan Skudai.
“Usaha ini sedang dimuktamadkan dan sekiranya berjalan mengikut perancangan, ia akan melengkapi perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadual beroperasi pada Januari 2027,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE